Thursday, May 11, 2006

PERDAGANGAN MALAYSIA MAMPU SAINGI CHINA, INDIA

KUALA LUMPUR 13 Dis. - Malaysia mampu bersaing dengan China dan India serta beberapa negara perdagangan lain berdasarkan tahap daya saingnya yang tinggi, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, Malaysia sentiasa meningkatkan daya saing negara supaya eksport negara terus meningkat dan kekal sebagai lokasi yang kompetitif untuk pelabur asing. Katanya, antara langkah yang diambil termasuk meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan, memastikan bekalan guna tenaga mahir mencukupi di sektor pembuatan dan perkhidmatan serta menyediakan insentif cukai yang khusus bagi tujuan itu.

``Sektor-sektor yang mempunyai nilai tambah dan teknologi tinggi turut dikembangkan supaya eksport barangan dan perkhidmatan tidak bersaing secara langsung dengan negara pesaing lain,'' katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr. Norraesah Mohamad dan Senator Lee Sing Chooi pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Ahmad Husni berkata, kerajaan juga melaksanakan Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3) pada 2006 hingga 2020 yang menumpu pada perkembangan sektor pembuatan dan pertanian. Beliau memberitahu, berasaskan kepada 104 buah negara yang dikaji oleh World Competitiveness Yearbook 2004, Malaysia berada pada kedudukan ke-16 berbanding China di tempat ke-24 dan India ke-34 dari segi persaingan secara keseluruhan.

Menurutnya, dari segi persaingan perniagaan, Malaysia berada di tangga ke-23, India (ke-30) dan China (ke-47) sementara dari segi Quality of National Business Environment, Malaysia turut terletak di tangga ke-23 berbanding India (ke-32) dan China (ke-47).

``Malaysia diletakkan sebagai negara yang paling kompetitif di antara negara-negara yang mempunyai Keluaran Domestik Kasar (GDP) per kapita kurang dari US$10,000 mengatasi China dan India,''. Katanya lagi, dari segi integrasi perdagangan ke dalam ekonomi global, Malaysia berada di tangga ke-2 berbanding dengan China yang berada di tangga ke-36 dan India ke-59 mengikut kajian yang dilakukan oleh A.T Kearney menerusi Globlisation Index 2005.

``Dari segi aliran pelaburan asing (FDI), Malaysia berada di tangga ke-21 berbanding China di tangga ke-19 dan ke-51 untuk India,'' katanya.

DAGANGAN MALAYSIA RM1 TRILION 2007

KUALA LUMPUR 17 Jan. - Malaysia dijangka mencatat jumlah dagangan sehingga RM1 trilion tahun depan berikutan pertumbuhan yang memberangsangkan sejak beberapa tahun lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, bersandarkan pertumbuhan dagangan purata sebanyak lapan peratus setahun serta nilai import dan eksport yang mencecah RM878.4 bilion dari bulan Januari hingga bulan November 2005, paras RM1 trilion itu akan dicatat dalam tempoh dua tahun.

``Dalam hal ini, kerajaan dan sektor swasta perlu bekerja lebih keras untuk mengekalkan pertumbuhan dan sekiranya tiada apa-apa halangan, saya pasti sasaran RM1 trilion ini akan dicapai dalam tahun 2007.

``Ini merupakan satu perkembangan yang baik bagi kegiatan import dan eksport di negara kita,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia 2006 (MIFB 2006) di Hotel Pan Pacific di sini hari ini.

Pameran kali ketujuh itu menyediakan lebih 400 gerai pameran, membabitkan peserta dari pelbagai negara yang terlibat dalam industri makanan, minuman, pertanian dan produk berasaskan agro. Pada majlis yang sama, beliau memberitahu, industri pemprosesan makanan merupakan antara barangan eksport utama negara.

Katanya, antara bulan Januari dan November lalu, jumlah dagangan industri itu adalah sebanyak RM11.7 bilion dengan nilai eksport kira-kira RM5.9 bilion.

``Singapura merupakan destinasi eksport terbesar dengan lebih RM953.3 juta barangan dihantar ke negara tersebut diikuti oleh Indonesia (RM560.4 juta), Amerika Syarikat (RM516.3 juta), Jepun (RM287.8 juta) dan Thailand (RM285.7 juta),'' katanya.

Menurutnya, industri pemprosesan makanan di negara ini merupakan kombinasi yang unik antara taburan sumber pertanian yang banyak serta kepelbagaian budaya yang menghasilkan pelbagai jenis makanan dan minuman.

``Industri ini juga berjaya menembusi pasaran makanan dan minuman di Amerika Syarikat, Eropah, Timur Tengah dan Asia,'' katanya.

Ahmad Husni berkata, Malaysia telah mengenal pasti pengeluaran makanan halal sebagai bidang pertumbuhan baru dan menyediakan pelbagai insentif bagi menggalakkan pembangunan hab halal.

``Buat masa ini kita menunggu kelulusan bagi pensijilan Halal daripada Akademi Fiqh Islam dari Jeddah, anggota Pertubuhan Persidangan Islam,'' katanya. Beliau berkata, syarikat-syarikat yang terlibat dalam pengeluaran produk halal layak untuk insentif fiskal dan bukan fiskal, seperti status perintis, elaun cukai pelaburan, elaun pelaburan semula dan pelbagai skim bantuan kewangan.

``Kerajaan juga akan mengadakan agenda seterusnya bagi pembangunan industri halal di Malaysia melalui Pelan Induk Perindustrian yang kini di peringkat akhir persediaan bagi pelancarannya tahun ini,'' kata beliau. Tambahnya, Pelan Induk Perindustrian akan memberi tumpuan kepada pengembangan sektor pertanian dan pembuatan negara yang telah dikenal pasti sebagai penjana ekonomi masa depan.

Ahmad Husni berkata, Malaysia juga perlu bersedia menghadapi cabaran besar dari negara yang mempunyai daya saing tinggi seperti China dalam memperluaskan perdagangan globalnya.

``China dapat bersaing dengan kita terutamanya dalam pasaran tekstil. Produk dari China bukan sahaja murah tetapi juga berkualiti,'' katanya.

Friday, May 05, 2006

MEMARTABATKAN MELAYU HASRAT HUSNI

Nama: Datuk Ahmad Husni Hanadzlah
Umur: 52
Tarikh Lahir: 21 Julai 1952
Jawatan: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Ahli Parlimen Tambun
DATUK Ahmad Husni Hanadzlah adalah antara tujuh calon Majlis Tertinggi (MT) dari negeri Perak yang mendapat restu dan diperakui oleh UMNO negeri untuk bertanding jawatan tersebut. Nama beliau dicadangkan bertanding jawatan MT atas kapasiti sebagai Timbalan Menteri.
Ahmad Husni yang merupakan calon baru MT memperoleh 66 pencalonan dan kini menduduki tangga ke-27 dalam senarai calon MT. Beliau mungkin calon baru dalam MT namun ketokohan Ahli Parlimen Tambun ini telah lama terserlah terutama dalam memperjuangkan nasib ekonomi orang Melayu sehingga ke peringkat antarabangsa.
Menurutnya, dia terdorong untuk bertanding jawatan MT pada pemilihan September ini hanya satu sebab iaitu mahu memberi perkhidmatan, berkongsi pemikiran dan idea kepada orang Melayu dan UMNO. Ahmad Husni bukan calang-calang orangnya. Beliau pakar dalam bidang ekonomi dan mahu kepakaran yang dimiliki turut dikongsi bersama dengan orang Melayu.
``Orang Melayu mesti ingat bahawa mereka sekarang sedang bersaing dengan gergasi dunia. ``Kita sedang berhadapan dengan bangsa yang telah jauh ke hadapan. Jurang kita dengan mereka dalam sektor ekonomi sudah terlalu jauh. ``Ingat di mana kita (orang Melayu) nanti apabila globalisasi dilaksanakan sepenuhnya pada 2012 jika kita tidak serius dari sekarang,'' katanya ketika ditanya matlamatnya untuk bertanding MT.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya dan turut mengikuti program lepasan ijazah dari Institut Pengurusan Asia di Manila, Ekonomi Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Institut Penyelidikan Antarabangsa Singapura dan Institut Bank Malaysia.
Penglibatan Ahmad Husni dalam arena politik negara bermula sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda UMNO Bahagian, Naib Ketua Pemuda Bahagian, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian sebelum dilantik sebagai Ketua UMNO Bahagian Tambun dari tahun 1993 sehingga kini.
Beliau juga adalah AJK Badan Perhubungan UMNO Perak serta Pengerusi Jawatankuasa Keahlian dan Pendaftaran Pemilih UMNO Perak. Di peringkat nasional pula, Ahmad Husni pernah memegang jawatan Ahli Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Parlimen dan AJK Penerangan UMNO. Di peringkat antarabangsa pula, Ahli Parlimen Tambun ini juga Timbalan Pengerusi Kesatuan Inter-Parlimen cawangan Malaysia dan Pengerusi Kesatuan Kumpulan Geopolitik Inter-Parlimen ASEAN.
Beliau pernah memegang beberapa jawatan penting iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Pengerusi Matrade dan Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan. Ahmad Husni juga kerap mewakili negara di peringkat antarabangsa antaranya sebagai Ketua Delegasi Mesyuarat UNCTAD di Sao Paulo, Brazil, delegasi Malaysia ke persidangan WTO Cancun, Mexico dan Ketua Delegasi Parlimen Malaysia ke Persidangan IPU ke-109 Geneva.
Beliau yang berkahwin dengan Datin Fauziah Kamarudin memiliki empat putera yang berumur antara l6 hingga 20 tahun.
Ketika diajukan pertanyaan mengenai peluang dan harapannya dalam MT, Ahmad Husni berkata: ``Berilah peluang kepada saya berbakti kepada bangsa saya sendiri melalui UMNO yang merupakan parti milik orang Melayu.
``Jika sebelum ini suara saya didengar di peringkat antarabangsa, kini saya mahu memperdengarkan suara saya melalui jentera UMNO di dalam MT,'' katanya.
Beliau menyifatkan pertandingan calon MT kali ini seimbang di antara calon lama dan muka-muka baru. ``Saya percaya gabungan bersama ini dapat mengukuhkan UMNO dalam membawa hala tuju orang Melayu,'' ujarnya.

MISI PERDAGANGAN TEROKA PASARAN BARU AMERIKA LATIN

IPOH 20 Sept. - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan menghantar satu misi perdagangan ke Amerika Latin, November ini bagi menerokai pasaran baru di negara berkenaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kementeriannya sedang menyediakan persiapan rapi untuk mempromosikan pelbagai produk bermutu tinggi ke negara berkenaan.
Beliau berkata, misi itu dijangka dapat menjalin kerjasama baru sebagai rakan kongsi perdagangan dengan negara berkenaan.

Katanya, beliau yang akan mengetuai misi berkenaan dijangka menemui tokoh korporat dan ahli perniagaan negara terbabit yang dikatakan berminat dengan produk keluaran negara ini. Ahmad Husni berkata, pasaran produk keluaran negara ini berpotensi dipasarkan ke negara Amerika Latin jika promosinya dilaksanakan mengikut strategi pemasaran yang terancang dan berkesan.

``Antara produk yang dijangka mendapat pasaran tinggi di negara berkenaan ialah kelapa sawit, barangan yang berasaskan getah dan kayu, barangan elektrik, kejuruteraan serta bahan kimia.

``Ketika ini pasaran di sana terlalu kecil walaupun barangan kita bermutu tinggi. Oleh itu kita mesti meneroka pasaran baru yang sungguh luas potensinya,'' katanya di sini, hari ini.

Ahmad Husni berkata, daripada maklum balas yang diterima, pengimport negara berkenaan berminat dengan minyak sawit Malaysia yang dianggap bermutu tinggi dan mengandungi paras vitamin E yang baik dari segi kesihatan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, minyak sawit negara ini dijangka mampu menembusi pasaran lebih luas di beberapa negara di sana setelah satu pameran dagangan diadakan di Brazil, baru-baru ini. Menurut Ahmad Husni, semasa pameran itu, gerai minyak sawit Malaysia dikunjungi lebih 10,000 pengunjung di kalangan ahli perniagaan tempatan yang berminat terhadap produk berkenaan.

Beliau berkata, selain Amerika Latin, misi perdagangan itu juga akan melawat Brazil, Argentina dan Chile yang dijangka dapat meningkatkan lagi hubungan dagangan sedia ada dengan negara ini. Menurutnya, negara terbabit akan menjadi satu gagasan baru perdagangan bagi merubah struktur ekonomi bersama-sama China, Korea dan Jepun.

Sunday, April 30, 2006

Parlimen Tambun

Blog ini diperingkat percubaan dan pengisian bahan.Apa yang dipapar disini belum lagi menggambarkan apa yang sebenarnya sehinggalah blog ini diguna pakai sepenuhnya.Blog master.